Saturday, November 14, 2009

Hindari Diabetes!

Pernahkah anda mengalami  gejala-gejala seperti keletihan, dahaga yang tersangat, sering lapar, penurunan berat badan, sering ke tandas,  hilang tumpuan, muntah-muntah dan sakit perut, kebas di kaki dan tangan, penglihatan menjadi kabur, sering jatuh sakit dan luka yang lambat sembuh?


Gejala di atas mungkin nampak seperti  tidak merbahaya tetapi siapa dapat menyangka bahawa sebenarnya Diabetes yang mungkin telah lama dikenali di kalangan kita sebenarnya  merupakan sebuah penyakit kronik yang sangat serius keadaannya sama seperti wabak berjangkit yang lain seperti AIDS/HIV, tibi (batuk kering) dan malaria.
Bahkan  Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri telah meluluskan Resolusi 61/225 pada tanggal 20 Disember 2006 yang mana telah mengisytiharkan diabetes sebagai salah satu penyakit kronik berkos tinggi dengan pelbagai komplikasi besar yang membawa kemudaratan kepada pelbagai pihak termasuklah keluarga, negara serta dunia sendiri.
Malaysia dikatakan berada dalam kumpulan 10 negara tertinggi diabetes dan berada di nombor 8 berdasarkan peratusan yang dicatatkan pada 2006. Lebih membimbangkan lagi, negara mengalami peningkatan 80 peratus kes diabetes antara 1996 hingga 2006 berbanding AS dengan hanya 20 peratus antara 1998 hingga 2007.
Menurut Bancian Kematian dan Morbiditi Malaysia Ketiga 2006, seramai 14.9 peratus rakyat Malaysia yang berumur 30 tahun ke atas adalah disahkan menghidap penyakit Diabetes.  Kajian juga mendapati  bahawa peningkatan kes diabetes semakin ketara setiap tahun. Malah lebih 15 peratus daripada rakyat Malaysia yang berisiko tinggi menghidap diabetes langsung tidak menyedari tentang bahaya yang bakal mereka hadapi di masa hadapan.

Justeru sebagai langkah berjaga-jaga , Persekutuan Diabetes Antarabangsa  (IDF)  telah memilih  tarikh 14 November setiap tahun sebagai Hari Diabetes Sedunia bagi membangkitkan kesedaran di kalangan masyarakat mengenai pentingnya pengetahuan dan pencegahan Diabetes yang semakin kritikal kebelakangan ini. Tarikh ini diambil bersempena tarikh kelahiran Sir Frederick Banting, saintis pertama yang menjumpai Insulin  manakala logo bulatan bulatan biru diisytiharkan sebagai lambang global penyakit Diabetes.  
“ Pendidikan dan Pencegahan Diabetes” telah terpilih  menjadi tema utama Hari Diabetes Sedunia pada tahun ini. Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan rasa tangggungjawab dalam memahami dan mengawal diabetes di seluruh dunia kepada pelbagai pihak terutamanya pesakit diabetes sendiri, kerajaan, pegawai kesihatan dan masyarakat secara umumnya. Kunci utama kempen tahun ini adalah :
1) Mengetahui risiko diabetes dan tanda-tanda awal
2) Mengetahui cara berhadapan dengan diabetes dan kepada siapa perlu dirujuk
3) Mengetahui rawatan diabetes dan pencegahannya








"Pendidikan mengenai diabetes merupakan hak asas bagi setiap orang yang menghidapi penyakit ini. Persekutuan Diabetes Antarabangsa menyeru seluruh dunia agar membuat pelaburan untuk pendidikan, rawatan dan penjagaan terhadap berjuta manusia yang menghidapi diabetes di seluruh dunia," tegas Marg McGill, Naib Presiden Kanan IDF.
 Apa itu diabetes?
Diabetes adalah satu keadaan di mana paras gula dalam darah adalah tinggi dan berpunca daripada kekurangan insulin atau insulin yang terhasil tidak dapat berfungsi seperti biasa atau kedua-duanya sekali.


Insulin merupakan sejenis hormon yang dihasilkan oleh pankreas bagi mengawal paras gula dalam darah. Pada keadaan normal, makanan yang dimakan akan ditukar ke dalam bentuk gula iaitu glukosa. Gula ini akan diserapkan ke dalam darah. Insulin akan membantu menggunakan glukosa ini sebagai sumber tenaga. Apabila insulin berkurang atau fungsinya terjejas, paras gula dalam darah akan meningkat. Dan apabila keadaan ini berlaku, sesorang itu akan disahkan menghidap Diabetes.


Terdapat dua jenis diabetes yang utama:
1) Diabetes jenis 1 : Seringkali berlaku di kalangan kanak-kanak atau remaja disebabkan oleh ketiadaan insulin. Diabetes jenis ini hanya boleh dikawal dengan suntikan insulin, kawalan pemakanan dan senaman. Kebiasaanya mereka yang menghidap diabetes jenis ini mempunyai sejarah keluarga yang menghidap diabetes.


2) Diabetes jenis 2 : Sering terjadi di kalangan orang dewasa (40 tahun ke atas) dan individu yang punyai berat badan berlebihan. Ia terjadi ekoran mereka  kekurangan insulin disebabkan oleh fungsi  insulin yang dikeluarkan kurang berkesan dan tidak mencukupi. Biasanya boleh dikawal hanya dengan kawalan pemakanan dan senaman atau gabungan pemakanan, senaman dan ubat.



Antara tanda-tanda awal diabetes adalah:
1) Kerap buang air kecil
2) Dahaga melampau
3) Sering lapar
4) Hilang berat badan
5) Terasa letih lesu
6) Kurang minat dan tumpuan
7) Penglihatan kabur
8) Muntah dan sakit perut (sering disalah anggap dengan flu/demam selesema)


Di kalangan kanak-kanak yang menghidap diabetes jenis 2, simptom-simptom ini hanyalah ringan atau langsung tidak kelihatan








Terdapat beberapa risiko diabetes yang perlu kita ketahui seperti:
1) Obesiti
2) Kurang bersenam
3) Diet tidak seimbang
4) Peningkatan usia
5) Tekanan darah tinggi dan kadar kolestrol yang tinggi dalam darah
6) Mempunyai sejarah keluarga yang menghidap diabetes
7) Pernah mengidap gestational diabetes
8) Etnik – Penduduk Asia, USA, Canada, Australia dan Amerika-Afrika lebih tinggi risiko menghidap diabetes berbanding penduduk Negara lain.
 


 




Rawatan dan pencegahan
Presiden Persatuan Metabolik dan Endokrin Malaysia (MEMS) , Profesor Dr. Nor Azmi Kamaruddin menegaskan bahawa Penekanan amat penting untuk usaha pengawalan paras gula secepat mungkin selepas pesakit disahkan menghidap diabetes.

"Jika ditangguhkan sehingga lima tahun lamanya, bermacam komplikasi akan menyusul yang akan menyukarkan lagi kawalan diabetes dan juga menjejaskan lagi kualiti hidup pesakit," katanya. Beliau juga menyarankan pesakit diabetes untuk berjumpa doktor pakar sekali setahun dan doktor perubatan setiap tiga bulan untuk pemantauan kawalan diabetes dan komplikasinya.

Dari segi pencegahan, Dr. Nor Azmi menyarankan ujian saringan terpilih dengan menyaring mereka yang mempunyai faktor risiko diabetes bermula selepas usia 40 tahun, sekali setiap tahun atau setiap tiga tahun.



Langkah  pencegahan untuk diabetes dan mana-mana penyakit kronik lain seharusnya dimulakan dari peringkat awal perkembangan anak-anak dengan pemahaman pentingnya aktiviti fizikal dan juga kawalan pemakanan. Adalah jelas bahawa cara terbaik untuk mencapai matlamat ini ialah melalui pendidikan tentang gaya hidup, pemakanan, dan kaedah pengambilan suplemen nutrisi.
 Tentang rawatan diabetes atau pra-diabetes, rawatan perubatan konvensional semasa sememangnya telah dapat memberikan ramai penghidap diabetes kehidupan yang lebih sihat dan hayat yang lebih panjang. Namun begitu, rawatan yang paling berkesan bagi diabetes dan masalah gula darah yang lain memerlukan penggunaan strategi yang melibatkan perubahan gaya hidup, kaedah pemakanan dan pengambilan suplemen nutrisi.

Contoh nutrien penting yang diperlukan oleh pesakit diabetes dengan jumlah yang agak tinggi dari biasa ialah vitamin B1, B6, B12, Biotin, Niacinamide, vitamin C, vitamin E, Mangan, Vanadium Sulfate, Zink, dan Kromium. Pesakit diabetes juga memerlukan lebih banyak Asid Alfa Lipoik (ALA), sejenis antioksidan sejagat yang mampu berfungsi dalam kedua-dua bahagian yang berair dan berlemak dalam sel.
Kesimpulannya, mentaliti masyarakat yang menganggap diabetes sesuatu yang remeh dan mungkin tidak mengancam nyawa perlu diubah dengan segera. Hakikatnya, penyakit ini tidak memaafkan sesiapa yang mengambil mudah situasi yang dihadapi. Untuk itu, pakar perubatan kini berusaha keras mencari cara terbaik untuk pesakit mengawal paras gula mereka secepat mungkin. Masyarakat juga seharusnya mengambil peluang ini untuk meningkatkan lagi pengetahuan mengenai diabetes sekaligus bekerjasama dengan semua pihak dalam usaha untuk mengurangkan kadar diabetes di Negara kita.











0 comments:

 
Home | About | Link | Link
Simple Proff Blogger Template Created By Herro | Inspiring By Busy Bee Woo Themes