Saturday, April 25, 2009

Aim Your Target, guys!

by Biro Akademik

Begin With The End In Mind, Let's Start!

 

Bismillah

 

Kata orang, hidup perlu ada matlamat, nak berjaya kenalah usaha, nak cemerlang wajib ada kesungguhan dan ketekunan.

Atau adakah… anda lebih selesa hidup anda biasa-biasa, usaha cukup-cukup makan, dan natijah yang hanya menyelamatkan anda setapak dari kegagalan, jauh dari tangga kejayaan, apatah lagi dari pentas kecemerlangan? Jika inilah rukun hidup anda, sampai bila-bila anda tidak akan mendapat 'title' BERJAYA, tetapi hanya TERSELAMAT sahaja. Nasib baik….   

 

 

KURANG USAHA

 

Masalah yang saya lihat berlegar di kalangan mahasiswa kita di sini, kita tidak serius dan kurang spesifik  dalam meletakkan matlamat akhir belajar di sini. Sudah pastilah kita meletakkan target tamat belajar dengan menggenggam ijazah perubatan atau pergigian, tapi persoalannya DENGAN MUADDAL BERAPA? Pernah terfikir?

Atau adakah anda dalam kategori golongan yang berpuas hati dengan prinsip ini- 'asal lepas belajar sudah…'

 

Tiada bezanya dengan markah muaddal tahunan. Ada yang selesa dengan dengan pegangan yang sama – 'asal lepas, sudah…' atau 'tak kisahlah…asal dapat naik tahun ok la…'

 

Berpegang pada prinsip sedemikian, memberi kesan kepada penumpuan usaha kita ke arah kecemerlangan. Pegangan "asal lepas sudah.." mengakibatkan ramai antara kita yang usaha hanya cukup-cukup makan, bagai melepas batuk di tangga, maka natijahnya pastilah hanya cukup-cukup kelulusan.

 

Kita lupa, bukankah kecemerlangan itu salah satu manifestasi usaha seseorang, dan juga sebagai salah satu kayu ukur menginterpretasi ketinggian ilmu seorang graduan?

 

Pernah anda kaji carta atau ranking muaddal di universiti, hebat mana yang dipanggil mutamayyiz (>92%), cemerlang mana yang dipanggil mumtaz (85 – 91.9%), tinggi mana markah jayyid jiddan (76 – 84.9%), takat mana diberi jayyid (67 – 75.9%), lulus mana pula yang dikata maqbul (60%) , dan dhaif (50 – 59%) ? Bawah dari itu, jangan difikir… na3uzubillah.

 

Naik tahun? Mungkin semua tahu , perlu lulus paling kurang 60%. Tapi wajarkah kita hanya meletakkan target setiap tahun lulus dengan muaddal yang dikata maqbul? Di mana impian cemerlang kita ?

 

Bermula dengan meletakkan target akhir muaddal graduasi kita, kita akan mula meletakkan TARGET MUADDAL SETIAP TAHUN YANG PERLU KITA CAPAI. Jangan leka, setiap tahun beberapa peratus dari markah tahunan akan dibawa ke akhir tahun nanti untuk muaddal keseluruhan. Secara kasar, purata muaddal tahunan dari tahun 1 hingga tahun 5 yang akan dibawa ke tahun akhir adalah sebanyak 60%, manakala muaddal tahun 6 sahaja sebanyak 40% diambil kira untuk jumlah muaddal graduasi nanti.

 

Andai matlamat spesifik telah kita letakkan dari awal, kita akan kurang bermain, tidak leka, dan sentiasa berwaspada dengan setiap markah dalam setiap ujian dan peperiksaan yang kita duduki.

Ya, setiap markah yang hilang bererti peratus anda yang kurang dari impian markah muaddal graduasi anda nanti!

 

 

 

MUADDAL TAHUNAN LEBIH 80%?

 

Mahasiswa tahun satu pastinya tersenyum lebar, eleh… kacang je.. petik jari pejam mata, lebih dari itu pun aku mampu… malah untuk tersenarai dalam carta DEANLIST (>85%) atau PRESIDENT LIST (>92%), memang tak mustahil… (adik-adik mahu sahut cabaran?) Nak capai itu mudah, tapi nak pertahankan itu payah. Itulah cabaran yang perlu adik-adik tempuhi. Cuba pertahankan prestasi cemerlang andai tahun satu ini adik-adik akhiri dengan muaddal yang hebat dan cemerlang.

 

Cuba letakkan muaddal graduasi anda setinggi mungkin, kerana anda masih di langkah pertama menuju puncak kecemerlangan.  Mahu mencipta sejarah menjadi pelajar Malaysia pertama diumumkan menjadi antara 3 pelajar terbaik jurusan anda di hari graduasi nanti? Atau menjadi pelajar Malaysia pertama berjaya dengan muaddal graduasi lebih 92% ? (president list tu…belum pernah pelajar Melayu dapat).

Jadi, usaha dari sekarang dan cuba pertahankan pada masa akan datang. Tak mustahil….

 

Bagaimana pula dengan mahasiswa tahun-tahun seterusnya? 80%? Tinggi? Tidak mengapa, kita mulakan dengan target peribadi dahulu.  (Tapi bukan sekadar maqbul, tau…), kemudian tinggikan dari semasa ke semasa target muaddal kita sehingga mencapai 80% atau lebih. Tak mustahil anda mampu menduduki carta deanlist sekali lagi.  Sematkan dalam hati, aku bukan lagi mahasiswa 'cukup-cukup makan' dalam pelajaran.

 

 

SIKAP KITA, MELAYU YANG LAYU

 

Masalahnya, ramai yang melihat kepentingan meletakkan target spesifik dan target muaddal tahunan ini dengan sebelah mata.  Ramai yang mengambilnya sambil lewa, maka dalam setiap ujian dan peperiksaan, mereka kurang menumpukan sepenuh usaha.

"Asal habis baca, takyah ulang ok ape…"

" takpe… baru exam pertama, markah kurang sikit, boleh usaha nanti-nanti sahaja" Ataupun, jika semester pertama tidak memberangsangkan, mereka lebih selesa mengambil jalan mententeramkan diri,

" Bukan ke ada lagi semester kedua.."

Tetapi akhirnya sehingga habis semester kedua, baru kelam kabut mengira muaddal takut-takut tidak cukup untuk membantu mereka melangkah ke tahun seterusnya. Sekadar itu.. harapan mahu lulus melangkah ke tahun seterusnya, maka di mana impian cemerlang kita?

Tidak bersedia, tidak berwaspada, sering leka- kitakah mahasiswa yang layu dalam belajar itu?  

 

 

BEGIN WITH THE END IN MIND, LET'S START!

 

Masih belum lewat. "A journey of a thousand miles start with a single step"

 

Orang yang mahu memanah tepat pada sasaran , takkanlah memanah dengan mata buta, itu bodoh namanya.

Orang yang mahu cemerlang berjaya dalam hidup dan pelajaran, takkkanlah usahanya sekadar melepaskan batuk di tangga, itu mimpi namanya.

 

"Sesungguhnya ALLAH suka seseorang kamu jika dia melakukan sesuatu,dia melakukannya dengan sungguh-sungguh dan teliti" - HADIS

 

Allah suka orang yang berusaha bersungguh-sungguh.

Allah sayang orang yang berusaha dengan teliti.

Maka dari situ lahirnya sunnatullah- kejayaan dan kecemerlangan hasil dari usaha yang tiada henti.

 

 

Muaddal tahunan lebih 80%. Tidak mustahil! Apa yang penting, perlu diingat, usaha perlu dimulakan dari sekarang. Jadikan impian dan matlamat anda untuk cemerlang sebagai penggerak usaha-usaha dan semangat membara anda yang tak pernah padam.

 

Genggam impian anda kemas-kemas, ubah persepsi anda terhadap diri sendiri, aku bukan lagi mahasiswa atas sempadan, bukan lagi mahasiswa yang hanya 'cukup-cukup makan', yang hanya berdiri di atas genting, antara lulus dan kegagalan.

Tapi aku mahasiswa yang mahukan kecemerlangan! Mulakan dari sekarang. Muaddal tahunan kita lebih 80% semuanya- manifestasi dan interpretasi usaha dan ilmu kurniaan Allah pada kita. AYUH!

 

Wallahua'lam

Biro Akademik MMJ 08/09

 

0 comments:

 
Home | About | Link | Link
Simple Proff Blogger Template Created By Herro | Inspiring By Busy Bee Woo Themes